Detik yang membanggakan 2017


Kembali ke pejabat selepas 1 Januari 2018 pada semalam harinya. Aku tiba agak awal, maka pada waktu itu tidak ada orang lain selain Makcik Kamariah, yang sedang sibuk mengelap semua meja dan tingkap aras itu. Tiba-tiba entah dari mana datangnya, untuk seketika aku merasakan ini adalah satu pencapaian sebab dapat “merasmikan” pejabat untuk tahun 2018.

Pada pukul 11:00 pagi, Ian memanggil kami semua untuk satu mesyuarat kumpulan. Morning huddle. Selalunya huddle akan dilakukan pada hari Isnin. Seperti biasa, Ian akan memulakan huddle dengan sedikit perkongsian. Usrah pun bermula dengan soalan daripada Ian,

“Apakah detik-detik yang membanggakan kalian pada 2017?”

Aku kira soalan ini sangat menarik. Tidak mempunyai azam tahun baru sememangnya adalah kebiasaan dalam hidup aku. Tidak pernah sekali aku terfikirkan untuk memasang apa-apa azam. Kerana pada aku, keazaman itu pada asasnya adalah satu keinginan untuk menjadikan diri lebih baik daripada diri yang sebelumnya. Untuk menentukan kadar pertumbuhan diri, manusia akan menggunakan masa untuk mengukur. Ada orang gunakan tahun. Ada orang gunakan hari demi hari, kerana menurutnya pertumbuhan dan pembaikan jiwa adalah proses yang berlangsung setiap saat.

Bangun tidur dengan niat untuk menjadi lebih baik daripada semalamnya. Tidak kisahlah baik dari segi apapun. Lebih baik sebagai seorang kekasih atau lebih baik sebagai seorang kawan. Boleh juga lebih banyak mukasurat buku yang sedang dibaca atau lebih banyak siri TV Orange Is the New Black di Netflix. Apa-apa sahaja yang menggembirakan hidup masing-masing.

Maaf terlencong seketika. Kembali kepada topik.

Antara perkara yang aku telah pelajari adalah sentiasa sedar akan keupayaan diri sendiri. Aku perlu sentiasa tahu di manakah keterbatasan aku dalam semua perkara. Aku terbawa-bawa kekaguman aku terhadap Superman sehinggakan aku fikir boleh buat semua benda, semua tugasan, semua tanggungjawab. Iyalah, bukankah aku ini Superman? Aku lupa, malah Superman itu sendiri ada waktu dan ketikanya akan ada juga jiwa yang tidak dapat dia selamatkan.

Inikan pula aku.

Sedikit menyedihkan, tetapi ayuh bertenang tidak perlu berduka panjang. Segelas air separuh penuh atau segelas air separuh kosong. Aku seperti kebanyakan masanya; separuh penuh. Dari satu sudut yang lain dalam perkara ini, aku sedar batas diri aku. Aku tahu setakat mana kemampuan aku. Aku berjaya meneroka diri sendiri untuk menentukan di bahagian manakah kekuatan dan kelemahan.

Seperti yang telah dinasihatkan oleh Sun Tzu, mengenali diri sendiri adalah satu elemen yang terpenting untuk memenangi semua peperangan. Hidup sememangnya adalah sebuah peperangan dan persemadian dengan jiwa adalah umpama sepasang baju perisai dalam medan perang ini.

Maka inilah detik kebanggaan aku. Kau pula?

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Tiada kemanisan dan berseluar pendek atau panjang?