Hujan emas di negeri orang



“Seronok tak menetap di Langkawi”
“Bolehlah, simple life. Tak ada tol, kos sara hidup rendah, tenang.”

Begitulah antara perbualan aku dengan seorang warga Langkawi yang baru dua tahun berpindah dan menetap terus di sana. Beliau berasal daripada Taman Melawati, Kuala Lumpur. Beliau berpindah kerana memilih untuk tinggal di kampung isterinya dan bekerja terus di situ. Kerjanya sekarang ialah menguruskan pakej mangrove tour sekitar perairan Langkawi.

Dan sehingga kini kata-katanya itu terus terngiang-ngiang di dalam minda aku, selain bunyi hempasan ombak dan belaian bayu di Pantai Chenang.

Untuk seketika, terfikir juga aku untuk terus berpindah ke sana selepas pencen. Untuk menyara hidup, mungkin aku boleh menyediakan khidmat Uber atau Grabcar kepada warga setempat dan juga para pelancong. Melepak santai sambil di tepi pantai kala matahari terbenam di ufuk dan bersarapan di tepi sawah padi bertemankan sinar pagi yang kian bangkit dari celahan gunung, oh syurga dunia!

Untuk seketika sahajalah. Sehinggalah diri aku yang satu lagi bersuara “Kau pasti ini yang kau mahu?”

Untuk merehatkan dan menenangkan jiwa, mungkin boleh. Tetapi hakikatnya untuk terus tinggal, hidup dan mati di sana; itu bukan diri aku. Aku tak rasa kehidupan sebegitu akan memenuhkan keperluan jiwa aku. Kerana jiwa aku adalah di sini. Di kota raya.

Walaupun mungkin kebanyakan daripada kita selalunya memandang bahawa ibu kota ini hanyalah tempat yang menampakkan sisi-sisi hodoh kemanusiaan, aku tetap akan memilih Kuala Lumpur. Kerana semakin lama aku di sini, semakin tersua di depan aku sisi-sisi indah manusia yang tenggelam dek pencakar-pencakar langit yang kian garang membangun.

“Tempat lahir tipu daya, tempat memburu mangsamu”, salah satu barisan dalam lirik lagu Ibu Kota Cinta, nyanyian kugiran Def Gab C. Ya betul, memang ada. Tetapi dalam masa yang sama, yang jarang diperlihatkan kepada kita; adanya insan-insan yang saban hari tanpa lelah cuba untuk menyenangkan kehidupan saudara-saudaranya.

Ada yang berkongsi makanan, ada yang mengajar anak-anak marjinal, ada yang berusaha untuk membudayakan ilmu dan banyak lagi. Seribu satu cara tetapi hanya satu matlamat, iaitu menjadikan dunia ini lebih baik. Dan keberadaan aku di tengah-tengah KL ini untuk menyaksikan arus perubahan itu berlaku sendiri di depan mata, adalah detik-detik yang sangat indah ibarat mentari pagi yang kian meninggi dari celahan gunung Langkawi itu.

Tidak mengapalah Langkawi. Tawaran pekan tenang di tengah-tengah laut biru kau itu memang menggiurkan. Tetapi aku memilih untuk terus menetap di sini sahaja.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Serba sedikit pasal buku Politics of Temporary: Ethnography of Migrant Life in Urban Malaysia