Kupasan buku The First Muslim


Membesar dalam keluarga dan persekitaran yang kebanyakan masanya mengamalkan kepercayaan Islam, kisah-kisah perjalanan hidup Muhammad bolehlah dikatakan sudah menjadi sebahagian dalam hidup aku. Daripada kisah awal beliau yang dilahirkan dalam keadaan yatim (bapanya Abdullah mati sebelum Aminah melahirkan Muhammad) sehinggalah kisah di ambang kematiannya, tidak pernah aku meneliti kembali kisah-kisah yang aku dengar dan belajar itu sehingga sekarang.

Kata seorang rakan yang mula-mula memperkenalkan buku ini kepada aku, buku ini amat disyorkan jika mahu mengetahui kisah perjalanan hidup Muhammad yang tidak mempunyai elemen-elemen mistik atau mukjizat yang seringkali tidak dapat dipisahkan apabila seseorang menceritakan perihal Muhammad.

Ditulis oleh Lesley Hazleton. Seperti apa yang aku baca di Wikipedia dan sedikit deskripsi di kulit buku, beliau banyak membuat liputan di wilayah Asia Tengah dan memiliki dua ijazah dalam bidang psikologi.

Secara keseluruhan, aku suka buku ini. Lesley menggunakan bahasa yang mudah. Penceritaan akan menjadi sedikit berat apabila Lesley cuba mengupas dan meneliti setiap lapisan yang terdapat di dalam sesuatu yang kisah yang sedang diceritakan. Dari semasa ke semasa, Lesley akan memandang dari kaca mata antropologi, sosiologi dan psikologi.

Kritikan aku terhadap buku ini tidaklah banyak. Aku berpendapat cara pendekatan Lesley terhadap subjek ini adalah sesuatu yang kurang tepat apabila beliau cenderung untuk menganggap apakah yang sedang difikirkan oleh watak-watak kisah Muhammad. Tetapi untuk berlaku adil kepada Lesley, tindakan ini mungkin kerana beliau sendiri mempunyai sedikit sebanyak kepakaran dalam bidang psikologi. Dan jika diberikan peluang untuk beliau bercerita lebih, aku yakin beliau dapat memberi justifikasi ke atas kecenderungan tersebut.

Apa yang membuatkan aku sangat sukakan buku ini adalah kerana ini ialah buku pertama yang aku baca, menceritakan kisah Muhammad daripada sudut pandang bukan Muslim. Ini bermakna, penulis tidak akan bias untuk membela Muhammad dengan ‘melembutkan’ kisah-kisah yang (sebagai contoh) terang-terang menurut sumber, mengarah sahabat pergi membunuh seorang penyair kerana mendeklamasikan puisi yang mengeji beliau.

Terkejut? Ya, aku tahu, kerana aku pun sama terkejut semasa membaca bahagian tersebut. Tetapi ini tidak boleh dijadikan sebab untuk kita terus menolak dan terus mengatakan penulis berbohong atau cuba memburukkan Muhammad. Tidak. Malah ini sepatutnya menjadi sebab yang lebih kukuh untuk kita terus membaca, mengkaji dan berfikiran terbuka. Ilmu Tuhan itu luas.

Sudah tentunya ketiadaan cerita-cerita mukjizat atau kuasa yang selalunya dikaitkan dengan cerita-cerita nabi (Musa membelah laut contohnya) akan membuatkan Muhammad kelihatan seperti manusia biasa sahaja. Dan mungkin itulah poin penulis. Seorang manusia biasa, yang lahir dalam keadaan yatim, dihantar kepada kaum Badwi untuk membesar di tengah-tengah gurun dan akhirnya pulang ke komuniti asalnya untuk membawa mesej agung iaitu persaudaraan dan cinta yang tidak mengira darjat, keturunan dan kaum.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Serba sedikit pasal buku Politics of Temporary: Ethnography of Migrant Life in Urban Malaysia