Posts

Showing posts from December, 2017

Untuk mengingatiku

Image
Terjemahan dan sedikit olahan daripada puisi nukilan Robert N. Test. Berikan mataku kepada dia yang tidak pernah melihat jingganya matahari yang terbenam, wajah mulus seorang anak atau sinar cinta kekasih. Berikan jantungku kepada dia yang jantungnya sendiri hanya mengepam deruan kesakitan yang tiada penghujungnya. Berikan darahku kepada dia yang ditarik keluar dari remukan kereta itu agar dia pulang dan melihat anak cucunya bergelak tawa dan suka. Berikan ginjalku kepada dia yang setiap harinya bergantung pada mesin untuk meniti hari demi hari. Ambillah kerat tulangku, serat ototku dan urat sarafku untuk seorang anak kecil berlari mengejar cita-cita. Jika kau mahu tanamkan apa-apa daripada aku, biarlah cuma kesalahan dan kelemahanku, dan segala prejudis yang terpalit pada saudara-saudaraku. Jika kau mahu mengingatiku, lakukanlah dengan kebaikan tindakmu dan manisnya bait katamu. Jika kau lakukan semua itu, aku akan terus hidup. Dalam dia. Dalam kamu.

Raikan kehidupan

Image
Pada 12 November, kalau tak silap, aku dan rakan-rakan sepejabat mengadakan satu "baby shower"  untuk Azuwa (rakan sekerja juga) yang pada waktu itu hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk melahirkan anak sulungnya itu. Ini adalah pertama kali dalam sejarah hidup aku, terlibat dalam benda alah ini. Baby shower. Aku rasa pertama kali aku mendengar istilah itu pula, mungkin tak lama dahulu semasa aku menonton drama atau filem Hollywood di mana seingat aku, tak ada pula dipertontonkan secara jelas apakah yang mereka buat untuk baby shower itu. Maksud aku, terdapatkah "ritual kebiasaan" seperti sambutan hari lahir di mana kita akan meniup lilin yang dipacakkan atas kek atau bachelorette party di mana si bakal pengantin akan dipakai tiara? Dan, shower? Siapa pula yang dimandikan? Kami sediakan meja, susun kerusi dan hiaskan serba sedikit dengan perhiasan bertemakan bayi lelaki. Azuwa sampai bersama suaminya, kami makan dan ada sedikit permainan (siap