Raikan kehidupan


Pada 12 November, kalau tak silap, aku dan rakan-rakan sepejabat mengadakan satu "baby shower"  untuk Azuwa (rakan sekerja juga) yang pada waktu itu hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk melahirkan anak sulungnya itu. Ini adalah pertama kali dalam sejarah hidup aku, terlibat dalam benda alah ini.

Baby shower. Aku rasa pertama kali aku mendengar istilah itu pula, mungkin tak lama dahulu semasa aku menonton drama atau filem Hollywood di mana seingat aku, tak ada pula dipertontonkan secara jelas apakah yang mereka buat untuk baby shower itu. Maksud aku, terdapatkah "ritual kebiasaan" seperti sambutan hari lahir di mana kita akan meniup lilin yang dipacakkan atas kek atau bachelorette party di mana si bakal pengantin akan dipakai tiara? Dan, shower? Siapa pula yang dimandikan?

Kami sediakan meja, susun kerusi dan hiaskan serba sedikit dengan perhiasan bertemakan bayi lelaki. Azuwa sampai bersama suaminya, kami makan dan ada sedikit permainan (siapa paling tepat ukur berapa ukur lilit perut Azuwa). Seusai majlis maka aku pun terus memandu pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan aku masih berfikir-fikir signifikan "baby shower" itu. 

Baby shower? Shower? Apa atau siapa yang dimandikan tadi? Aku tak faham. Atau mungkin kerana keterbatasan pengetahuan aku dalam lingo Bahasa Inggeris yang membuatkan aku bingung memikirkan asal-usul terma tersebut.

Mungkin ia adalah satu simbolisme semata-mata, iaitu si ibu (bukan si anak sebab masih dalam rahim lagi, dduh) mendapat mandian atau curahan kasih sayang daripada keluarga atau rakan-rakan terdekat. Ini sangat penting kerana tanpa kita sedar, ia juga adalah satu sistem sokongan kepada si ibu untuk membantunya dari segi mental menjelang hari bersalinnya nanti.

Selain itu aku juga ada terfikir yang kita sebagai manusia, banyak betul benda yang nak diraikan. Sudah tentunya yang paling biasa, sambutan hari lahir. Walau tidak ada sambutan besar-besaran pun, paling kurang akan ada rakan-rakan kau secara tiba-tiba menyanyikan lagu "Selamat Hari Lahir" sambil membawa sepotong kek. Datanglah pejabat aku, tiap-tiap bulan mesti ada.

Jangan salah faham, aku tidaklah mengatakan semua ini dengan nada penuh meluat atau menyampah. Aku fikir ada baiknya. Setelah jutaan (mungkin ribuan, aku lupa) tahun manusia berevolusi, mungkin ini adalah salah satu mekanisme manusia beradaptasi secara berkumpulan dan bersosial dalam meniti kehidupan ini. Di dalam kehidupan yang kelihatannya seperti tiada tujuan; perayaan itulah yang menerbitkan satu tujuan untuk manusia terus optimis meneruskan kehidupan. Perayaan adalah waktu di mana kita berehat, berkumpul dan melupakan untuk beberapa ketika akan kepenatan dalam berhidupan ini. Seperti makan dan minum, bersosial adalah satu elemen yang penting pada kehidupan manusia.

Walau apapun pandangan seseorang mengenai kewujudan manusia itu (mempunyai makna atau tidak), kehidupan bukan sahaja sesuatu yang perlu kita kerjakan dengan penuh jerih dan kepayahan, ia juga perlu direnung, dihayati dan yang antara yang terpenting, pada pandangan aku; diraikan.

Ayuh putarkan lagu Raikan Cinta, M. Nasir.

"Mari mawarkan raikan cinta
Tanpa cintanya kita tiada
Mawar cinta mawarku abadi
Cinta memilik segala jadi"

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi