Berjalan-jalan di pekan Kajang

Aku memandu ke pekan Kajang pada pukul 10 pagi. Matahari sudah mula semakin terik. Aku masuk ke pekan melalui Kampung Baru Sungai Chua. Berhenti untuk entah berapa lama dekat lampu trafik depan Restoran Sate Kajang Haji Samuri. Dalam tengah menunggu itu, aku pandang sekeliling. Sebelah kanan aku ialah pejabat pos yang sudah terbina lama, sekitar 1910 (sumber Kajang Heritage Centre).

Reka bentuk binaannya sama dengan pejabat pos dekat Jalan Panggong. Aku pernah dengar satu cerita. Pejabat pos adalah antara institusi yang perlu dibina terlebih dahulu dalam sesebuah pekan atau bandar pada waktu-waktu awal pembukaan mana-mana pekan. “Internet” untuk era tersebut.

Kena buat bacaan lebih pasal itu. Setakat ini, aku kategorikan penyataan ini sebagai hipotesis.

Aku parkir kereta depan kedai Raaji. Sudah jalan beberapa tapak, kemudian aku tiba-tiba risau pasal caj parkir kereta. Aku pandang sekeliling dan aku nampak sebuah papan tanda, suruh aku muat turun aplikasi SmartSelangor. Selesai masalah.

Kalau dulu waktu berjalan-jalan dekat Taiping, kena gores kertas parkir dan letak dekat atas dashboard kasi pegawai MPT tengok. Majlis Perbandaran Taiping. Harapnya di Taiping dah ada juga aplikasi macam SmartSelangor. Senang hidup.

Aku tak ada apa-apa tujuan utama pun dekat sini. Saja berjalan-jalan jadi pelancong dan ambil gambar. Macam biasa, aku guna kamera point and shoot Panasonic C225 EF. Untuk filem, aku pakai Kodak Gold 200.

Berehat kejap dekat perhentian bas. Ada satu papan tanda cantik, berlatarbelakangkan dua buah bangunan putih yang mana tengahnya ada satu lorong kecil menuju ke Lorong Mendaling.

Aku kepilkan dahulu gambar-gambar yang aku rakam daripada telefon. Mungkin hujung minggu ini aku akan ke Darkroom8 untuk cuci.



Aku ambil lorong kecil tadi. Dekat Lorong Mendaling ini, yang paling menarik perhatian aku ialah Tokong Ting Hong Si.

Cantik sungguh tokongnya. Teringin nak masuk, tapi lain kalilah. Segan pula rasa.

Ada sebatang pokok besar sebelah tokong, yang di bawahnya ada altar. Agaknya sudah berapa umur si pokok ini. Megah berdiri dengan rambutnya yang mengembang. Agaknya apa yang dia telah lihat.


Sepanjang aku berjalan-jalan, trafik tidaklah banyak mana. Paling sesak pun hanyalah jalan dekat perhentian bas tadi. Mungkin harus juga diberitahu bahawa kali ini aku hanya mahu tumpukan penerokaan pada bahagian pekan Kajang yang berdekatan pejabat pos.

Memang betul-betul mengingatkan aku pada kampung sendiri, Taiping. Lebih kurang sama sahaja bentuk-bentuk bangunan rumah kedai. Gaya binaan sebelum perang kalau tak silap aku.

Aku ternampak sebuah kereta. Atau mungkin jip? Aku tak pasti apa nak panggil. Warna kelabu, terletak di bahu jalan. Dalam 10 meter di hadapan ada lampu trafik. Rugi kalau aku tak ambil gambar. Aku melintas ke seberang jalan untuk dapatkan sudut yang lebih cantik. Malangnya aku kena tunggu lima minit untuk trafik bertukar ke hijau dan tak adalah kereta-kereta mengacau pandangan lensa kamera.

Berbaloi.



Selamat tinggal Jip Kelabu. Moga kita berjumpa lagi. Kirimkan salamku kepada pemandu.

Singgah kejap kopitiam minum kopi. Aku tengok dekat Google Map bila dah sampai rumah tadi, dapat tahu nama kopitiam itu ialah “Kedai kopi dan makanan Chop Tong Sin”. Mulai sekarang aku panggil Kopitiam Tong Sin lah. Wow kopinya sedap yang teramat. Daripada pengamatan aku, pekerjanya terdiri daripada lima orang wanita dan seorang lelaki. Dua daripadanya sahaja yang boleh dikatakan masih muda.


Aku duduk mengadap jalanraya. Sesekali kereta berhenti disebabkan lampu trafik di depan. Tapi tidaklah sebising mana. Tenang-tenang sahaja suasana.

Tiba-tiba rasa lapar. Aku pun minta mi kari dekat puan kedai. Dia tanya dulu dekat aku, makan babi tak. Aku jawab tak ada masalah, makan sahaja.

Sungguh mempesona dan menyelerakan mi karinya. Pedas, tapi masih best. Rempah dia pun cukup. Harus diingat, ini semua menurut citarasa aku ya. Lain orang lain seleranya.

Sedang enak menyedut mi dan kari pedas mantap, telefon menunjukkan ada notifikasi bahawa tempoh masa parkir tinggal lagi 10 minit untuk luput. Tambah lagi sejam. Tiada sesiapa dapat menghalang aku daripada berkhalwat dengan mi kari enak ini.

Semua sekali berharga RM7.10. Kopi RM1.50 dan mi kari RM5.60. Dalam jam 11:30AM begitu, tuan kedai dah mula tarik pintu depan sehingga menutup 1/4 kedainya. Puan kedai kata pukul 12:00PM akan tutup dah. Aku ambil maklum dan berterima kasih kepadanya atas makanan yang sedap dan layanan mereka yang bertaraf lima bintang.

Kamera dah tunjuk yang aku telah guna 26 exposure filem. Tiba masa untuk aku balik. Simpan baki exposure untuk aktiviti hujung minggu pula. Singgah beli biskut timbang sebab aku tahu teman serumah suka benar makanan-makanan rapu sebegini. Kedainya dekat perhentian bas.

Agak berpuas hati dengan penerokaan urban hari ini. Itupun ada beberapa tempat aku tak pergi. Antaranya Kajang Heritaga Centre. Kena datang lagi. Jika ada sesiapa yang membaca blog ini, pergilah jalan-jalan di sana. Kalau tak mahu pandu kereta, boleh naik MRT sahaja dan turun di stesen MRT Stadium Kajang.

Moga kita jumpa lagi, Kajang dan penduduknya yang indah belaka.


Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi