Pencarian
Jika ada orang bertanyakan aku apakah yang dikatakan
kebenaran, aku tak akan dapat jawab. Aku akan termenung lama, cuba untuk menyusun
cebis-cebis buah fikiran dan cuba untuk mencari perkataan-perkataan yang dapat
dikaitkan. Tetapi di penghujungnya hanya akan berakhir dengan ungkapan “aku tidak
tahu”.
Ini mungkin kerana mempersoalkan kebenaran adalah
sesuatu yang sangat baru dalam hidup aku. Selama kewujudan di dunia ini, aku tidak
pernah sesekali menyemak apakah yang telah diberikan kepada aku sejak kecil.
Apakah tempat aku di dunia ini? Kenapa aku boleh berada di sini? Ke mana aku
menuju? Ke manakah aku selepas mati?
Aku sedar, mungkin akan ada yang mengatakan aku telah
sesat. Aku telah lupa segala apa yang telah diajarkan sejak kecil. Aku sudah
hilang akidah, katanya.
Aku sudah tidak mempedulikan semua itu kerana aku sudah
muak untuk hidup seperti bebiri. Asuhan atau didikan yang mereka ujarkan itu
tidak lain dan tidak bukan hanyalah doktrinasi yang telah diajarkan sejak
turun-temurun tanpa pernah diselidiki sehabis baik. Tuhan telah memberikan keupayaan
untuk berfikir dan mempersia-siakan itu tidak
termasuk dalam pilihan aku. Seorang manusia hebat pernah berkata, hidup yang
tidak diteliti hanyalah kehidupan yang tidak berbaloi.
Adakah aku ketemu kebenaran yang aku cari-cari itu? Sesuatu
yang menakjubkan untuk bertemu dengan kebenaran setelah hanya dua tahun
daripada keseluruhan kewujudan. Untuk soalan seperti ini, aku hanya boleh katakan;
adakalanya destinasi bukanlah matlamat sebenar dalam sesuatu perjalanan.
Jikapun ada ketemu jawapannya, aku tidak boleh terus
selesa dan berhenti dari mencari. Menetapkan bahawa akan ada sisi-sisi yang tidak
akan dapat aku lihat adalah prinsip yang perlu dipegang dalam perjalanan ini, kerana
batas-batas aku sebagai manusia. Batas-batas yang di antaranya adalah aku hanya
boleh memandang daripada kaca mata dan perspektif aku sahaja.
Keterbatasan ini sama sekali tidak menggusarkan. Malah,
ia lebih membuatkan aku untuk terus merendah diri dan menghalang daripada berkelakuan
seolah aku lebih pandai daripada orang lain. Dan juga dalam masa yang sama, aku
tidak perlu gusar berhadapan dengan mereka yang kelihatannya hebat kerana walau
sebijak manapun beliau; manusia tetap manusia yang tidak tahu segalanya.
Comments