Ringkasan Chapter 1, The Origin of Species

Aku baru sahaja habis baca Chapter 1 buku The Origin of Species. Hampir-hampir aku mahu letakkan saja buku ini dan beralih ke buku Richard Dawkins, The Greatest Show On Earth. Sebabnya lenggok bahasa Darwin sangat klasik, membuatkan aku susah nak faham. Dan aku sendiri pun jarang baca teks lama. Tapi kawan aku kata lebih baik baca Darwin dulu sebab Dawkins banyak rujuk The Origins of Species.

Darwin memulakan  dengan mengupas terlebih dahulu perkaitan manusia dalam membentuk ciri-ciri haiwan atau tumbuhan domestik. Sejak bermulanya peradaban manusia, haiwan dan tumbuhan sudah beberapa kali mengalami proses perubahan daripada cirinya yang asal, daripada habitat liar. Sebabnya manusia sendiri yang memilih apakah ciri-ciri yang perlu ada pada sesuatu haiwan atau tanaman itu demi kebaikan manusia itu sendiri. Contohnya, tembikai yang besar dan manis, jagung yang tahan cuaca sejuk, etc.

Contoh terdekat yang mungkin senang untuk kita lihat, bagaimana wujudnya pelbagai jenis kucing atau anjing yang ada sekarang. Pelbagai jenis baka. Baka-baka ini tidak terdapat dalam hidupan liar sesuatu organisma itu. Ia adalah kesan intervensi manusia. Aku ambil contoh dalam pembiakan baka kucing. Jika terdapat ciri yang kelihatan menarik pada kucing itu, contohnya kaki kucing itu pendek berbanding kucing yang lain, pembiak baka itu akan ambil kucing tersebut (dan mengabaikan kucing kaki normal yang lain) lalu terus-menerus membiakkan kucing kaki pendek itu.

Sama juga dengan anjing. Kalau anda perasan, baka-baka anjing yang ada sekarang semuanya mempunyai ciri-ciri tertentu yang mempunyai kelainan dari satu baka kepada satu baka yang lain. Dan kelainan ini tidak semestinya pada rupa luaran fizikal, tetapi pada ciri dalaman atau ciri fisiologi anjing itu juga. Contoh, baka anjing bloodhound mempunyai deria hidu yang lebih kuat berbanding baka anjing yang lain. Maka ia digunakan khas untuk aktiviti memburu sejak dahulu lagi.

Jadi secara umumnya itulah intipati dalam Chapter 1, The Origin of Species. Di mana manusia menentukan selection haiwan atau tanaman, sama ada secara langsung atau tidak langsung demi kepentingan manusia itu sendiri. Aku rasa dalam bab yang seterusnya, Darwin akan mengupas pula faktor persekitaran semulajadi atau habitat asal dalam menentukan kepelbagaian spesis sesuatu hidupan.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi