Kenapa aku membuat kebaikan?

Aku tertanya kepada diri aku, kenapa aku terus-menerus membuat kebaikan ini? Adakah aku ingin betul-betul membantu orang lain atau aku sekadar memuaskan diri aku? Tetapi satu perkara yang aku pasti, aku kurang senang dengan idea iaitu membuat kebaikan untuk ganjaran pahala atau syurga. Malah untuk menerima ucapan terima kasih yang disertakan dengan senyuman.


Kerana aku fikir, jika aku membuat kebaikan untuk semua itu, aku rasa merasakan ia tidak tulen, tidak ikhlas. Dan ia bertentangan dengan prinsip aku iaitu hendaklah menganggap dan berkelakuan terhadap seseorang itu sebagai pengakhiran, bukannya sebagai satu perantara untuk mencapai sesuatu.

Jadi, untuk apa aku melakukan kebaikan? Kerap juga persoalan ini datang kepada aku. Aku tidak tahu mulanya. Tetapi apa yang aku pasti, aku perlu terus melakukan kebaikan di dunia ini.


Akhirnya aku temui jawapannya. Aku melakukan kebaikan kerana aku bersyukur. Aku bersyukur dengan keberadaan aku di dunia ini. Aku bersyukur akan kewujudan dia dalam hidup aku, lalu secara langsung dan tidak langsung dia membuatkan aku sentiasa memerhatikan alam dan berfikir lalu membuatkan aku hidup. Hidup bukan sekadar zahir di bumi ini tetapi hidup jiwa dan minda aku.


Dan bagaimana lagi caranya untuk aku membalas kurnian Tuhan ini selain membuat kebaikan pada ciptaan dia? Aku tahu, Tuhan tidak mengharapkan apa-apa pembalasan daripada kita hamba biasa ini. Maka kepada ciptaannya sahajalah untuk aku manifestasikan kesyukuran aku itu.

Aku membuat kebaikan kerana aku bersyukur kepada Tuhan di atas segala kurnianya kepada aku.

Terima kasih Tuhan.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi