Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan


Syarikat tempat aku bekerja dah keluarkan arahan untuk bekerja dari rumah. Nasib baik kami pun dah memang dibekalkan dengan sebuah computer riba setiap seorang. Dan nasib baiklah juga sambungan internet di rumah aku tak ada apa-apa masalah.

Sebelum aku pergi dengan lebih lanjut, aku nak beritahu awal-awal apa yang kau akan baca dalam entri aku kali ini. Kau akan terbaca ngomelan seorang rakyat Malaysia yang lelah dengan pentadbiran kerajaan kini. Kerajaan bukan daripada mandat rakyat pilihanraya lalu.

Semenjak timbulnya gelombang kedua jangkitan COVID-19 ini, aku lihat kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agak tidak cekap dalam menangani tugas mereka. Jangan salah faham, kritikan ini aku tujukan khas hanya untuk Menteri KKM, Dr. Adham Baba. Para penjawat awam KKM yang lain adalah wira sejak kes pertama COVID-19. Wira yang tidak didendang.

Kau boleh lihat sendiri bagaimana tingkahlaku dia semasa sidang media. Lihat bagaimana dia menyampaikan kemaskini berita melalui bahasa badannya dan tutur katanya. Dia tampak tak yakin dan tak tahu apa yang dia sendiri sampaikan.

Kemudian kita lihat pula bagaimana kerajaan secara keseluruhan bertindak. Kementerian-kementerian kerajaan langsung tidak sehaluan. Maka tidak hairanlah kalau rakyat panik pergi membeli barang runcit dan panik mahu segera pulang ke kampung. Keadaan sudah kritikal, mahu tunggu Isnin baru nak mesyuarat. Janji sidang media jam 9, dibawa pula ke jam 10. Mula-mula pelajar IPT kena diarah pulang ke kampung, kemudian, tak apa; boleh terus tinggal di kampus masing-masing.

Semuanya kelam-kabut. Mereka boleh berjumpa di Sheraton hari Ahad, mesyuarat krisis COVID-19 boleh tunggu Isnin? Nak jawatan kabinet, tapi kerja buat acuh tak acuh?

Ada orang bilang, usah politikkan krisis ini. Soalnya sekarang, bagaimana untuk tidak terpolitikkan isu ini kalau Muhyiddin sendiri hanya memanggil Menteri Besar dari negeri-negeri Perikatan Nasional?

Aku tak tahu apa yang aku nak jangkakan sepanjang tempoh perintah ini. Aku cuba untuk optimis. Aku cuba untuk meletakkan harapan kepada kerajaan tapi mereka sendiri yang tak menunjukkan kecekapan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi