Pencarian


Jika ada orang bertanyakan aku apakah yang dikatakan kebenaran, aku tak akan dapat jawab. Aku akan termenung lama, cuba untuk menyusun cebis-cebis buah fikiran dan cuba untuk mencari perkataan-perkataan yang dapat dikaitkan. Tetapi di penghujungnya hanya akan berakhir dengan ungkapan “aku tidak tahu”.

Ini mungkin kerana mempersoalkan kebenaran adalah sesuatu yang sangat baru dalam hidup aku. Selama kewujudan di dunia ini, aku tidak pernah sesekali menyemak apakah yang telah diberikan kepada aku sejak kecil. Apakah tempat aku di dunia ini? Kenapa aku boleh berada di sini? Ke mana aku menuju? Ke manakah aku selepas mati?

Aku sedar, mungkin akan ada yang mengatakan aku telah sesat. Aku telah lupa segala apa yang telah diajarkan sejak kecil. Aku sudah hilang akidah, katanya.

Aku sudah tidak mempedulikan semua itu kerana aku sudah muak untuk hidup seperti bebiri. Asuhan atau didikan yang mereka ujarkan itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah doktrinasi yang telah diajarkan sejak turun-temurun tanpa pernah diselidiki sehabis baik. Tuhan telah memberikan keupayaan untuk berfikir dan mempersia-siakan  itu tidak termasuk dalam pilihan aku. Seorang manusia hebat pernah berkata, hidup yang tidak diteliti hanyalah kehidupan yang tidak berbaloi.

Adakah aku ketemu kebenaran yang aku cari-cari itu? Sesuatu yang menakjubkan untuk bertemu dengan kebenaran setelah hanya dua tahun daripada keseluruhan kewujudan. Untuk soalan seperti ini, aku hanya boleh katakan; adakalanya destinasi bukanlah matlamat sebenar dalam sesuatu perjalanan.

Jikapun ada ketemu jawapannya, aku tidak boleh terus selesa dan berhenti dari mencari. Menetapkan bahawa akan ada sisi-sisi yang tidak akan dapat aku lihat adalah prinsip yang perlu dipegang dalam perjalanan ini, kerana batas-batas aku sebagai manusia. Batas-batas yang di antaranya adalah aku hanya boleh memandang daripada kaca mata dan perspektif aku sahaja.

Keterbatasan ini sama sekali tidak menggusarkan. Malah, ia lebih membuatkan aku untuk terus merendah diri dan menghalang daripada berkelakuan seolah aku lebih pandai daripada orang lain. Dan juga dalam masa yang sama, aku tidak perlu gusar berhadapan dengan mereka yang kelihatannya hebat kerana walau sebijak manapun beliau; manusia tetap manusia yang tidak tahu segalanya.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Serba sedikit pasal buku Politics of Temporary: Ethnography of Migrant Life in Urban Malaysia