Melancong ke Pulau Pinang


Aku nak buat satu pengakuan. Selama ini aku fikir Pulau Pinang adalah tempat melancong yang overrated. Aku skeptik. Entah apalah yang seronok sangat di sana. 

Kemudian, baru-baru ini, aku dan Mimiey bercuti ke Pulau Pinang. Dan ternyata, aku salah. Pulau Pinang, terutamanya George Town, adalah pekan paling cantik pernah aku lawati.

Ia sebuah pekan lama. Banyak rumah-rumah kedai dengan reka bentuk lamanya lagi. Lebih banyak berbanding pekan Taiping. Susunan rumah-rumah kedai itu rapat-rapat. Maka, kebanyakan jalan hanya muat untuk satu laluan kereta. Banyak jalan sehala. Ramai orang berjalan kaki.

Habis dua gulung filem Kodak aku gunakan untuk tangkap gambar-gambar sekitar George Town. Sumpah, aku tergamam. Tak sabar nak hantar ke Darkroom 8, tengok macam mana hasilnya nanti.

Paling aku kagum dekat George Town ini ialah, sekecil-kecil lorong belakang atau di tepi rumah kedai pun cantik, kemas dan dijaga rapi. Betul-betul mesra pejalan kaki.


Kami pun ada juga singgah kafe-kafe yang ada di sini. Menurut Mimiey, antara semua kafe yang dia pernah lawati, pastry di sini yang paling sedap. Aku tak boleh nak sahkan dakwaannya itu sebab aku tidaklah gemar sangat makan kek atau roti.

Aku tak sempat nak merasa kopi O tempatan. Kafe-kafe yang kami pergi pula tak jual kopi tempatan. Yang ada hanya kopi kebiasaan kafe moden; seperti latte, Americano dan lain-lain.

Aku ingatkan aku sudah move on dari kepesonaan terhadap George Town, tapi ternyata tidak. Ada banyak lagi ceruk-ceruk pekan itu yang aku belum terokai. Aku akan pergi lagi sekali, itu sesuatu yang pasti. Cantik. Sungguh cantik.



Comments

Popular posts from this blog

Kerja baru

Serba sedikit pasal buku Politics of Temporary: Ethnography of Migrant Life in Urban Malaysia