Berjalan-jalan di pekan Kajang: Kemuliaan yang tak terjangka

Pada Sabtu lepas, 3 April, aku bawa teman, Mimiey dan seorang kawan, Fit, ikut sama ke Kajang. Tujuan utama sebenarnya hanyalah untuk bersarapan dengan kopitiam yang aku kunjung tempoh hari. Kedai kopi dan makanan Chop Tong Sing.

Kami sampai dalam jam 10:30 pagi. Pengunjung agak ramai. Maklumlah, hujung minggu. Semua ambil peluang nak bersantai dan bersarapan di luar sahaja.

Mujur ada meja untuk kami bertiga. Alangkah tak tersangkanya aku yang puan kedai cam kelibat aku. Dia ingat yang aku pernah ke situ Rabu lalu. Kami perkenalkan nama masing-masing. Beliau kata panggilnya sebagai Aunty June.

Mimiey dan Fit buat pesanan nak makan roti bakar dengan pandan dan telur separuh masak. Aku makan mi kari. Aku tak sempat nak rasa makanan mereka, katanya sedap.

Sesekali kami berborak-borak dengan Aunty June. Beliau bertanyakan serba sikit latar belakang dan perihal diriku. Ada juga kami mengupas hal-hal identiti dan kepercayaan diri, yang aku fikir ada baiknya aku ceritakan di kemudian hari sahaja.

Bila aku fikirkan balik, inilah pertama kali aku berbincang hal-hal sedemikian dengan orang tua “stranger”. Orang asing yang bukan kawan mahupun kenalan. Tambahan pula, beliau ialah seseorang yang daripada kumpulan warga senior. Warga senior, kebanyakan yang pernah aku temui, tidaklah begitu terbuka dalam membicarakan perkara-perkara yang kami bincangkan itu.

Tapi aku kira selepas ini, sebuah silaturahim telah terjalin antara kami berdua dan harapnya tembok prejudis dalam diri ini akan roboh. Moga ia berpanjangan.

Ini antara sebab aku suka berkunjung ke kedai-kedai lama seperti kopitiam Aunty June. Bukan sekadar untuk transaksi perniagaan. Ada kalanya dapat buat kawan baru.

Perut dah kenyang, kopi habis dihirup, kami pun nak beredar. Kedai Aunty June tutup jam 12:00 PM. Aku berterima kasih kepada Aunty June dan kawan-kawannya yang turut tolong beliau dan layanan mereka yang amat mesra. Aku turut berterima kasih kepada Aunty June atas kesudiannya untuk menerima aku sebagai pelanggan dan yang lebih penting, sudi mendengar cerita aku.

Terima kasih atas kemuliaan yang tidak terjangka ini.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi