Kerja rumah filem Interstellar

Nota: Ini adalah entri lama (November 2014) yang telah disunting kembali.

Gambar dari space.com

Interstellar, arahan Christopher Nolan, pengarah The Dark Knight dan Inception.

Filem ini adalah mengenai seorang bekas pilot NASA yang diminta untuk mengetuai ekspedisi mencari planet baru untuk manusia sejagat, sebab bumi dah tak sesuai untuk didiami. Banyak tanaman musnah, jadi sumber makanan pun dah kurang. Ramai orang terpaksa bekerja sebagai peladang, mengabaikan profesi sebenar mereka.

Filem ini agak panjang, hampir 3 jam. Tapi itu adalah sesuatu yang sangat berbaloi bagi mereka yang meminati genre sci-fi dan pengarahan Nolan. Filem ini tidaklah berbicara hal sains semata-mata, tapi diselitkan juga mengenai nilai-nilai kemanusiaan. Sejauh mana seseorang itu yang punya kuasa akan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan spesies manusia, tetapi dalam masa yang sama terpaksa meninggalkan keluarga sendiri. Logik melawan emosi.

Untuk memastikan anda tidak 'tercicir' apabila watak-watak dalam filem ini bercakap mengenai prosedur saintifik yang akan mereka lakukan, saya sangat-sangat menyarankan anda untuk cuba mengambil tahu serba sedikit akan ilmu astrofizik. Kalau sudahpun menonton dan kurang faham, buatlah sedikit pembacaan mengenainya.

Nolan melantik Kip Thorne, seorang ahli fizik, sebagai pakar runding kru produksi dalam perihal astrofizik yang ingin diaplikasikan ke dalam filem ini. Nolan mahu memastikan segala perbincangan ilmu astrofizik dan fizik secara amnya adalah berpaksikan hukum fizik yang tepat semaksimum mungkin. Tetapi dalam keadaan tertentu, terpaksa juga Nolan menggunakan 'artistic license' dalam menyampaikan cerita itu.

Sedikit perkongsian dari pembacaan aku mengenai beberapa perkara yang disentuh dalam Interstellar.

'Wormhole'
Ruang angkasa adalah satu hamparan fabrik ruang-masa (fabric of space and time)yang sangat luas. Cahaya yang punya kelajuan yang sangat pantas itu pun (299 792 458 meter per saat) masih memerlukan tempoh masa lebih kurang 8 minit untuk cahaya dari matahari itu sampai ke muka bumi. Jadi sekarang cuba bayangkan apabila ahli astronomi mengukur jarak antara dua jasad di ruang angkasa dengan nilai 'tahun cahaya'. Galaksi Andromeda adalah galaksi yang paling dekat dengan bumi, sejauh 2.2 bilion tahun cahaya. Ingat; dalam satu saat cahaya boleh meliputi jarah sejauh 299 792 km. Anda kiralah sendiri bagaimana pula dengan satu tahun cahaya.

Makanya untuk merentas ruang angkasa itu dalam masa yang singkat, 'wormhole' adalah jawapannya. Ia adalah satu jalan pintas. Analogi seperti yang ditunjukkan dalam mana-mana dokumentari (yang turut sama dipakai dalam Interstellar), adalah dengan mengambil sehelai kertas A4. Tuliskan titik A di satu hujung dan B di satu hujung yang satu lagi. Bagaimana untuk menghubungkan titik A dan B itu tanpa perlu melukis sepanjang kertas A4 itu? Penyelesaiannya adalah dengan melipatkan kertas kepada dua sehingga titik A dan B itu bertemu.



Konsep yang mudah, tetapi amat sukar untuk dimaterialkan di alam realiti. Untuk memastikan wormhole itu kekal bertahan dan pengembara angkasa dapat sampai ke titik B dengan selamat, sejumlah tenaga yang sangat besar diperlukan dan collateral damage pada jasad-jasad angkasa berdekatan pasti akan berlaku.

'Time dilation'
Kita dapat lihat dalam filem ini di mana apabila Cooper berada di planet pertama (planet Miller), setelah kembalinya ke kapal induk, seorang kru yang tertinggal jadi lebih tua. Dan anak-anaknya di bumi sudahpun meningkat dewasa. Walhal Cooper berada di planet itu hanya beberapa jam sahaja. Inilah apa yang dinamakan 'time dilation'. Satu jam di planet Miller bersamaan dengan 7 tahun di bumi. Perbezaan perjalanan masa di antara bumi dan planet Miller adalah disebabkan kekuatan tarikan graviti. Semakin kuat tarikan graviti, semakin perlahan masa berlalu. Kita boleh lihat konsep time dilation ini pada sistem satelit kita sendiri. Jam di satelit perlu diperlahan kepada beberapa milisaat untuk memastikan ia synchronize dengan jam di bumi.

Terus hidup apabila disedut dalam lohong hitam (black hole)
Kebarangkalian untuk terus hidup seperti apa yang berlaku pada Cooper semasa dia masuk ke dalam lohong hitam adalah sangat tipis. Sebaik sahaja sesuatu objek melintasi 'event horizon', iaitu satu sempadan antara lohong hitam dan ruang angkasa, objek itu tidak akan dapat berpatah balik. The point of no return. 'Spaghettification' pula akan berlaku. Maksudnya, kalau anda hendak masuk ke lohong hitam dengan menghulurkan kaki dahulu, kaki anda akan ditarik dengan sangat kuat. Kaki anda akan termampat dek graviti, tetapi dalam masa yang sama bahagian atas tubuh badan anda masih selamat. Jangan ditanya sakit atau tidak.

Dari reddit.com

Tetapi wujud juga perbincangan di mana kalau lohong hitam itu cukup besar, seperti 'supermassive black hole', berkemungkinan event horizon tidak begitu terasa dan mungkin akan dapat masuk ke lohong hitam itu tanpa perlu melalui proses 'spaghettification'.

*               *               *

Dan itu sajalah daripada aku, serba sedikit 'kajian' yang aku sempat cari selepas menonton Interstellar. Sejak dari kecil aku memang meminati ilmu astronomi. Mana-mana terbitan filem yang amat berkait rapat dengan penerokaan ruang angkasa, aku akan sangat teruja. Dengan keterbatasan teknologi yang kita ada sekarang ini, melalui filem dan dokumentari sahajalah untuk aku 'belayar' merentasi fabrik ruang-masa.

Hashtag hanyut di ruang-masa.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi