Coretan Jalan Panggong 3 Mei

Nota: Aku bukan kru Dapur Jalanan.

Ahad, 3 Mei 2015.

Syukur hari ini cuaca baik yang amat. Dua tiga minggu lepas asyik hujan. Sebelum ke Jalan Panggong, aku singgah sebentar ke PWTC. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur masih berlangsung, dan kalau betul apa yang aku dengar, hari ini hari terakhir.

Pesta Buku Antarabangsa yang tak berapa nak 'antarabangsa'.

Kali pertama aku singgah tempoh hari aku beli buku 'The Science of Interstellar'. Satu dokumentasi untuk menerangkan sains di sebalik filem Interstellar arahan Christopher Nolan. Jika anda peminat sains (atau science geek) dan peminat filem genre sci-fi, wajiblah ke atas anda untuk memiliki buku ini. Maka tiada peluang lagi untuk anda mengadu tidak faham akan apa benda filem Interstellar ini, padahal sudah siap diterbitkan satu buku untuk anda baca dan fahami.

Hari ini pula aku beli beberapa buku dari DuBook Press dan satu buku dari Fethullah Gulen iaitu Rahmatan lil 'Alamin, yang dicadangkan oleh sahabat aku selepas dia memahami yang aku ini seorang yang science geek. Apakah perkaitannya buku ini dengan perihal aku seorang science geek, tidaklah aku tahu secara jelas. Selepas aku baca habis buku itu, akan aku kongsikan di sini. Inshaallah.

Di Jalan Panggong, semuanya berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, ada pertolongan dari para 'superhero' yang datang dari UPM. Yang sedikit luar biasa, ada pula sekumpulan produksi filem/drama datang buat penggambaran. Aku perasan ada kelibat seorang pelakon yang aku kenal, gaya pakaiannya seakan memainkan watak seorang gelandangan. Pada awalnya aku punya mixed feeling akan suasana ini. Tidak patut dan tidak sesuai, bisik di lubuk hati aku. Opportunist

Tapi bila aku fikirkan kembali, mungkin akan ada hikmahnya. Mungkin dengan menerusi filem atau drama lakonan pelakon itu, akan lebih banyak terbitnya kesedaran masyarakat akan golongan tidak bernasib baik ini. Kita jangan lupa akan kuasa seni dalam membangkitkan isu sosial. Kalau dahulu, filem P. Ramlee kalau diamati betul-betul, akan nampak komentar isu sosial masyarakat Malaysia pada waktu itu. Dan daripada pemerhatian aku pula, aku boleh nampak dalam filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'. Cukup halus dan sinikal. Hebat Mamat Khalid.

Dan mungkin ini sajalah peluang pelakon itu untuk  menjadi superhero pada masyarakat, dengan caranya yang tersendiri. Lain orang, lain caranya. Asalkan janganlah melanggar etika asas masyarakat. Wallahualam.

Hashtag semua orang itu lahirnya adalah superhero

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi