Alam dan manusia


Merenung pepohon di bukit lalu disapa angin sepoi dan sesekali terdengar kercipan beburung, sambil aku duduk melepak di balkoni rumah aku yang berada di tingkat empat bangunan kondo ini; membuatkan aku terfikir sejenak. Terdapatkah perkaitan antara perubahan alam dan kemajuan (atau kemunduran) hidupan manusia?

Terbukti dari kajian geografi di mana sudah beberapa kali bumi telah mengalami perubahan dari segi bentuk muka buminya. Daripada hutan belantara kepada gurun kontang, daripada lautan kepada gunung-ganang. Dan sudah tentunya manusia masih lagi tidak ada untuk menyaksikan perubahan-perubahan geografikal ini kerana kewujudan manusia secara relatif kepada kewujudan alam semesta ini sebenarnya masih sangat-sangat baru. Tetapi ini tidak bererti dinamika alam ini sudah terhenti. Tidak, ia masih berlaku. Kini kita menyaksikan perubahan iklim global yang semakin memanas.

Di kala itu terbitnya persoalan, sejauh manakah kesan perubahan dunia ini pada manusia? Lebih spesifik, apakah kesannya pada corak pemikiran manusia. Kerana aku berpendapat, segala apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku di bumi ini adalah berpunca dari akal fikiran insan. Maaflah kalau apa yang aku katakan ini seolah-olah angkuh, semacam ingin mengatakan manusia semata-mata yang membentuk dunia ini. Kita ketepikan dahulu hujah penglibatan tuhan dalam persoalan ini dan fokus pada apa yang kita nampak di depan mata. Kerana manusialah yang ketika ini memegang pen menandatangani polisi, yang memegang gergaji menebang balak di Kelantan sana dan yang berceloteh mengatakan alam ini adalah untuk kita menggunakan sehabis-habisnya.

Anggapan aku ketika ini adalah ya, alam memang mempengaruhi manusia sehingga munculnya era Zaman Gelap, Renaissance, Zaman Perindustrian dan lain-lain lagi. Alam yang membangkitkan manusia sehinggakan memakan dirinya sendiri, apabila manusia yang dibangkitkan itu jugalah sedang memusnahkan ia. 

Sejauh mana peranannya, aku tidak ada tahu. Jika kau ada buah fikiran, sila kongsikan. Dan kalau ada mana-mana buku untuk aku rujuk, lagi bagus.

Selamat berhujung minggu di bumi yang kelabu.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi