Hujan emas di negeri orang
“Seronok
tak menetap di Langkawi”
“Bolehlah,
simple life. Tak ada tol, kos sara hidup rendah, tenang.”
Begitulah
antara perbualan aku dengan seorang warga Langkawi yang baru dua tahun berpindah
dan menetap terus di sana. Beliau berasal daripada Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Beliau berpindah kerana memilih untuk tinggal di kampung isterinya dan bekerja
terus di situ. Kerjanya sekarang ialah menguruskan pakej mangrove tour sekitar perairan Langkawi.
Dan
sehingga kini kata-katanya itu terus terngiang-ngiang di dalam minda aku,
selain bunyi hempasan ombak dan belaian bayu di Pantai Chenang.
Untuk
seketika, terfikir juga aku untuk terus berpindah ke sana selepas pencen. Untuk
menyara hidup, mungkin aku boleh menyediakan khidmat Uber atau Grabcar kepada
warga setempat dan juga para pelancong. Melepak santai sambil di tepi pantai
kala matahari terbenam di ufuk dan bersarapan di tepi sawah padi bertemankan
sinar pagi yang kian bangkit dari celahan gunung, oh syurga dunia!
Untuk
seketika sahajalah. Sehinggalah diri aku yang satu lagi bersuara “Kau pasti ini
yang kau mahu?”
Untuk
merehatkan dan menenangkan jiwa, mungkin boleh. Tetapi hakikatnya untuk terus tinggal,
hidup dan mati di sana; itu bukan diri aku. Aku tak rasa kehidupan sebegitu
akan memenuhkan keperluan jiwa aku. Kerana jiwa aku adalah di sini. Di kota
raya.
Walaupun
mungkin kebanyakan daripada kita selalunya memandang bahawa ibu kota ini hanyalah
tempat yang menampakkan sisi-sisi hodoh kemanusiaan, aku tetap akan memilih
Kuala Lumpur. Kerana semakin lama aku di sini, semakin tersua di depan aku
sisi-sisi indah manusia yang tenggelam dek pencakar-pencakar langit yang kian
garang membangun.
“Tempat
lahir tipu daya, tempat memburu mangsamu”, salah satu barisan dalam lirik lagu
Ibu Kota Cinta, nyanyian kugiran Def Gab C. Ya betul, memang ada. Tetapi dalam
masa yang sama, yang jarang diperlihatkan kepada kita; adanya insan-insan yang
saban hari tanpa lelah cuba untuk menyenangkan kehidupan saudara-saudaranya.
Ada
yang berkongsi makanan, ada yang mengajar anak-anak marjinal, ada yang berusaha
untuk membudayakan ilmu dan banyak lagi. Seribu satu cara tetapi hanya satu
matlamat, iaitu menjadikan dunia ini lebih baik. Dan keberadaan aku di tengah-tengah
KL ini untuk menyaksikan arus perubahan itu berlaku sendiri di depan mata, adalah
detik-detik yang sangat indah ibarat mentari pagi yang kian meninggi dari
celahan gunung Langkawi itu.
Tidak
mengapalah Langkawi. Tawaran pekan tenang di tengah-tengah laut biru kau itu
memang menggiurkan. Tetapi aku memilih untuk terus menetap di sini sahaja.
Comments