Anak bulus dan anak manusia


Aku dah ada empat ekor kucing. Anak-anak bulus, bak kata orang sekarang.

Pada penghujung tahun 2012, aku bawa balik Suki dari SPCA Ampang. Tak lama kemudian, pada Mac 2016, teman wanita adik — di mana sekarang dah bergelar isteri — berikan Melati.

Sekitar bulan Julai (kalau tak salah ingatan), ada seorang kawan bertanyakan, mahu tak aku untuk ambil anak-anak kucing. Ada seekor ibu kucing liar yang baru sahaja melahirkan empat ekor anak di depan rumahnya. Menurut doktor vet yang dia rujuk, bila dah cukup sebulan, dia sudah boleh berikan kepada sesiapa yang mahu menjaga mereka. Aku buat keputusan untuk ambil dua daripada empat itu setelah berbincang dengan rakan serumah. Mujur rakan serumah pun cintakan kucing.

Muncullah pula Simba dan Juli dalam hidup kami. Agak mencabar juga sebab walaupun aku suka kucing, aku tak pernah menjaga anak kucing. Banyak juga karenahnya, baru aku tahu. Bertambah mujur rakan serumah pandai. Selain beberapa artikel di internet, dia banyak ajar aku.

Membela kucing ni bukannya senang. Bukan sekadar bagi makan, bermain dan buang tahinya sahaja. Seperti anak manusia, aku kena pastikan mereka divaksin. Kalau ada yang tak kena  seperti tak mahu makan, duduk diam tak berlari-lari macam biasa  aku kena bawa terus jumpa doktor. Buku tak boleh tinggal merata-rata, sebab kalau tidak habis koyak mereka kerjakan.

Ada kalanya, aku menganggap ini semua sebagai latihan sebelum aku berkeluarga kelak dan punya anak manusia.

Mungkin akan ada sesetengah daripada kalian akan berkata; lain, tak boleh samakan jaga anak kucing dengan anak manusia, bila membesarkan anak manusia ni, ada banyak benda yang dipertaruhkan.

Sebenarnya, itu semua bergantung pada diri masing-masing. Pada aku, amat tidak adil untuk berkata sedemikian sebab tak ada sesiapa pun yang dapat mengukur sejumlah emosi yang terlibat antara membesarkan manusia dan haiwan peliharaan.

Tentu saja kita boleh ukur dan bandingkan berapa banyak wang yang diperlukan untuk membesarkan mereka. Aku sendiri pun akan akur bahawa secara umumnya perbelanjaan untuk anak manusia lebih banyak.

Tetapi, seperti aku katakan tadi, tiada sesiapa dapat mengukur penglibatan emosi yang dicurahkan terhadap mereka. Tiada sesiapa yang dapat lihat betapa hancur luluh hidup seseorang apabila berhadapan dengan kematian anak; anak manusia mahupun anak bulus.

Itulah manusia, sentiasa mencari makna dan tujuan dalam hidupnya. Makna dan tujuan itu pula berbagai-bagai, bergantung kepada cara pandang dunia untuk setiap individu. Ada orang bermatlamat untuk punya keluarga, tetapi ada juga yang mahu hidup seorang diri sahaja. Walaupun mungkin kita akan nampak seseorang yang hidupnya tanpa tujuan, tapi kita tak tahu, mencari tujuan dan makna itulah tujuannya hidupnya. Itulah manusia. Menarik kan?

Dengan ini, aku bagi pihak pencinta kucing sekalian alam ingin meminta, kalau dapat tahu ada rakan kau yang baru kehilangan anak bulus (anjing, kucing, kura-kura dll), tolonglah halang diri daripada memberikan komen seperti "Alah, kucing je. Belalah seekor yang baru".

Happy Caturday!

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi