Hari ke-10 Perintah Kawalan Pergerakan


Semalam dapat khabar yang mengatakan tempoh kawalan pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April. Bertambah gusar pula aku.

Kalau tidak banyak, mungkin sedikit cabin fever yang aku rasai sekarang ini. Walaupun aku punya banyak buku untuk dibaca dan judul-judul permainan video PS4 untuk aku habiskan, aku tetap rasa gelisah dan kempunan nak keluar. Aku dah mula rindu tren MRT dan berjalan dalam beberapa ratus meter ke tempat kerja.

Tapi apakan daya, mungkin inilah satu-satunya cara yang tinggal untuk menyekat musuh ghaib tak kelihatan. Wah, mudahnya aku melabel COVID-19 sebagai musuh. Walhal kita spesis manusia ini yang lebih menyerupai musuh kepada si Gaia.

Semakin lama populasi manusia semakin meningkat. Semakin bertambah bilangan manusia, semakin bertambah kadar penggunaan haiwan-haiwan. Maka semakin terdedahlah kita dengan pelbagai jenis mikroorganisma yang membawa kemudaratan kepada sistem antibodi badan.

Inilah harga yang perlu dibayar dalam kemajuan tamadun manusia. Inilah harga yang perlu dibayar apabila manusia memegang kuasa dalam mengubah dan menghapuskan elemen-elemen alam sekeliling. Semenjak manusia berupaya dari memegang cangkul sehingga menaip di papan kekunci, manusia telah tanpa henti melahap-lahap isi bumi. Sama ada untuk kebaikan mahupun untuk keburukan.

Berbekalkan pengetahuan ini, sudah tentunya kita dapat harungi COVID-19, kan? Aku boleh katakan dengan pasti, Malaysia dalam beberapa sudut agak cemerlang dalam menangani penularan ini. Aku tidak tahu bagaimana halnya dengan negara-negara lain. Nampak gayanya, ada negara yang dalam kesusahan.

Ini semua berbalik kepada bagaimana sesebuah negara menguruskan system kesihatan. Aku percaya ada ruang yang seharusnya diperbaiki. Pembaikan itu pula tidak boleh hanya tertumpu pada satu-satu negara sahaja, bahkan ia perlu dilakukan di peringkat global.

May the force be with us.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi