Marilah kita buat kerja masing-masing

 

26 Ogos 2021
Khamis

Dari kiri, Fitrah, Alia, Juin dan Pey Chee.

Sementara kawan-kawan Dapur Jalanan yang lain berkongsi makanan di hujung lorong kecil sana, mereka buka satu meja dekat kaki lima ini untuk tolong kawan-kawan kota daftarkan diri untuk suntikan vaksin Covid-19.

Mudah untuk kita daftarkan diri sendiri untuk dapatkan vaksin tersebut. Mudah juga untuk kita dapatkan maklumat-maklumat berkaitan vaksin dan juga apa-apa maklumat mengenai virus itu sendiri. Sama ada kepelbagaian varian yang muncul mahupun status penyebarannya dalam negara. Mudah untuk kita yang ada telefon pintar, yang ada rangkaian internet, yang perutnya kenyang terisi.

Senangnya rasa itu sampaikan ada sesetengah kita lupa bahawa ada kumpulan warga yang tidak mahir dan tidak ada akses untuk semua ini. Wabak Covid-19 memperlihatkan jurang tersebut. Wabak ini memperlihatkan wujudnya kemiskinan digital dalam masyarakat. Mahiaddin dan konconya kata “no one will be left behind”. Lucunya.

Mujur ada Fitrah, Alia, Juin dan Pey Chee, serta kawan-kawan yang lain seperti Shakila, Afiq, Su Li, Su Jin, Amalina, Paan, Q, Pakwan. Mereka sedaya upaya mengisi jurang itu. Mereka tolong daftarkan ke sistem. Ada waktu mereka akan jadi juruhebah maklumat berkaitan keselamatan vaksin. Ada waktunya juga mereka akan atur proses menghantar kawan-kawan kota itu untuk ke pusat vaksin. Hanya untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Kerja-kerja menyelamatkan negara dari krisis Covid-19 datang dari pelbagai bentuk, turun dari pelbagai cara dan dilaksanakan dari pelbagai pihak. Mereka yang bekerja itu pula ada yang memakai PPE, ada yang sekadar berkemeja T biasa, ada juga yang memakai sut tali leher dan tidak lupa, ada juga yang mengendong patung mayat mendesak si pemakai sut tali leher untuk melampirkan polisi yang lebih menyeluruh.

Maka, marilah kita buat kerja masing-masing.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi