Berehat dari media sosial


Aku lupa bila aku buat keputusan ini. Mungkin pada awal Januari 2022 atau lewat Disember 2021. Aku putuskan untuk mengurangkan masa dengan media sosial (medsos). Twitter, Instagram dan Facebook.

Apa sebab aku buat begini?

Pertama, sebab aku nak cuba kembali hidup pada masa di mana penggunaan telefon bimbit masih terhad kepada jawab/buat panggilan dan SMS. Waktu di mana kalau kau nak tahu keadaan dan keberadaan seseorang, kita sendiri kena tanya orang itu. Bukannya melihat Story dan ciapan.

Kedua, ada kaitan sedikit dengan hujah kedua, aku nak lebihkan aktiviti yang dah lama aku tak buat. Termenung. Ya benar, termenung. Dengan adanya telefon pintar, kita dah lama tak termenung bila menunggu seseorang, contohnya. Selalunya, kita akan keluarkan telefon dari poket lalu skrol dari atas sampai bawah menantikan sesuatu yang menarik, sama ada ciapan mahupun foto.

Bermenung adalah antara perbuatan yang dah lama aku tak buat. Biarkan fikiran melayang-layang untuk fikirkan apa sahaja. Melihat keadaan sekeliling. Tengok orang mundar-mandir. Cuci mata.

Nikmati dunia dengan lensa mata sendiri dengan tiada perantaraan skrin kaca.

Ada sesetengah orang kata, bermenung membolehkan minda untuk lebih berkreatif. Berkreatif dari sudut apa, aku tak berapa jelas. Mungkin dengan merasai kebosanan, minda kita akan lebih bekerja keras untuk mencari rangsangan, lalu menjadi kreatif? Entah, aku tak tahu.

Aku taklah langsung tak tengok medsos. Dari semasa ke semasa, aku ada juga buka Facebook. Tengok apa-apa berita di Twitter, atau apa-apa gambar terbaru oleh Tom Holland di Instagram. Cuma masa yang diluangkan adalah seminima yang mungkin.

Sebenarnya, ada hujah ketiga yang menjadi sebab aku berehat dari medsos.

Aku mahu tenangkan fikiran. Tahun 2021 adalah tahun yang sangat sukar untuk aku. Banyak sangat benda-benda baru yang berlaku sampai aku tak tahu nak macam mana nak berhadapan dengannya. Banyak gila babi. Serabut.

Aku banyak menangis berbanding ketawa. Puncanya pelbagai. Dan aku fikir, berehat seketika dari medsos mungkin dapat menenangkan minda ini. Aku nak mulakan tahun ini dengan langkah dan rentak yang lebih perlahan. Aku nak lebihkan masa untuk diri sendiri.

Jadi, itulah dia. Tengoklah apa jadi nanti. Harapnya makin eloklah aku ini.

Godspeed.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Biografi