Taiping dan aku sama sahaja, kami berubah


Hari Raya kedua. Petang. Tak tahu nak buat apa, lalu aku ambil keputusan untuk jalan-jalan ambil gambar filem 35mm sekitar Taiping.

Aku parkirkan kereta berdekatan dengan bangunan yang suatu ketika dulu adalah pasaraya Fajar. Sekarang dah jadi Raintown Plaza. Baru terfikir nak masuk dan naik sampai ke atas, tapi tutup pula. Waktu dulu, masa aku remaja, selalu ke situ untuk belek-belek alat tulis. Kalau ada duit lebih sikit, cari kaset lagu.

Ketiga-tiga pasar lama Taiping tengah dalam proses baik pulih. Ayah kata dah herot-berot struktukrnya sebelum ini. Pasar ni dah digazetkan oleh kerajaan, maka sebarang ubahsuai harus mengekalkan binaan asal bangunan. Warisan sejarah.

Tak banyak sangat aktiviti penduduk. Cuti umum kan. Gambar-gambar yang aku ambil pun lebih tertumpu kepada objek-objek rawak dan struktur-struktur bangunan yang aku kira agak unik atau bersejarah

Dah makin lain pekan ini. Tak seperti dulu waktu aku remaja. Apapun, ia sesuatu yang sepatutnya aku duga. Perubahan pasti akan berlaku. Tak akan dapat nak elak. 

Tapi, aku masih tak dapat nak elak daripada merasa sedih. Banyak tempat yang aku selalu pergi dah tak ada. Dah jadi kedai lain atau premis lain. Taiping Jaya pun dah tak ada. Seluruh bangunan tengah dalam proses ubahsuai. Ayah kata, untuk dijadikan hotel. Tapi dah terbengkalai sejak PKP.

Perubahan Taiping Jaya yang paling aku sedih. Masa kecil-kecil dulu, selalu rasa seronok bila ke sini sebab boleh tengok mainan-mainan dekat tingkat atas. Ada pernah sekali aku dan adik beli mainan Power Rangers lepas kumpul duit raya.

Kedai buku Popular dekat bangunan Wisma Palaniappa pun dah tak ada. Rupanya dah tutup sejak 13 Dis 2021.

Cis. Aku sangka aku akan senang hati lepas jalan-jalan petang ni, tapi sedih pula jadinya. Tak dapat nak hidupkan semula pengalaman daripada memori dahulu masa kecil.

Dalam aku bergelumang dengan perasaan sedih, ada beberapa pemerhatian yang aku kira agak menarik untuk dikaji. Di pekan ini, setiap blok rumah kedai mempunyai seni bina yang jelas menunjukkan pada tahun bila ia dibina.

Ada yang dari tahun zaman dulu-dulu, mungkin sekitar sebelum merdeka. Ada yang seni bina tahun 80an. Daripada rupa tingkap, bentuk bangunan; aku dapat agak. Menarik.

Ini membuatkan aku terfikir. Kalau aku dapat buat satu pemetaan tahun binaan bangunan-bangunan di Taiping, maka aku akan boleh nampak pola pembangunan Taiping daripada situ. Hmm.

Taiping, kau dah berubah. Aku tak suka asalnya. Tapi, bila difikirkan secara mendalam, itulah lumrah dunia. Aku sendiri pun dah berubah. Shazni yang dahulunya berkeliaran di tengah pekan Taiping sambil berbasikal, sudah tak sama dengan Shazni yang sekarang berjalan-jalan berlagak pelancong sambil berseluar pendek, memegang kamera filem 35mm.

Mungkin, aku dan kau sebenarnya sama sahaja. Kita berubah.

Comments

Popular posts from this blog

Melancong ke Pulau Pinang

Kerja baru

Tiada kemanisan dan berseluar pendek atau panjang?